TAPAH – “Walaupun secara peribadinya dia agak pemalu dengan kami sebelum ini, tapi arwah sangat ceria dan rajin bertanya khabar kawan-kawan, balas ucapan raya dalam WhatsApp,” kata Nor Faisal Ishak, 41, rakan sekelas Allahyarham Norzuwida Ahmad Termizi yang maut dalam kemalangan ngeri, Sabtu lalu.

Menurutnya, mangsa juga aktif sebagai penyelaras majlis perjumpaan semula rakan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) 1 Tapah dan Sekolah Menengah

Kebangsaan (SMK) Buyong Adil, Tapah, 16 Mei lalu.

“Pernah terdetik dalam hati, arwah agak berlainan daripada kebiasaan apabila banyak bertanyakan perkara mengenai kematian.

“Saya yang terkejut menerima maklumat daripada rakan terus mencari kesahihan dan bergerak dari Kuala Lumpur ke Tapah untuk majlis pengebumian ini,” katanya.

Allahyarham Norzuwida bersama suami, Mohd Nazeri Abdul Razak, 45; dan ibunya, Zalehah@Zaleha Ibrahim, 71; maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 24, Jalan Teluk Intan–Chenderong Balai, di sini, Sabtu lalu.

Jenazah selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Jalan Damai, di sini, petang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, semua mangsa bersama tiga anak Allahyarham dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Kampung Raya, Tapah Road selepas beraya di rumah saudara di Sitiawan, Lumut.

Tiga anak mangsa, Nuramira Shafika, 16; Muhammad Aiman Haziq, 8; dan Muhammad Danial, 13 bulan; turut tercedera.

Bagaimanapun Muhammad Aiman sudah dibenarkan keluar hospital, manakala Muhammad Danial kini stabil selepas menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Sementara itu, anak kedua Allahyarham, Nuramira Shafika dilaporkan masih tidak sedarkan diri di Hospital Teluk Intan.

Difahamkan, ketika kejadian, anak sulung pasangan ini, Nuramira Shahira, 17, berada di asrama Kolej Vokasional Kuala Kangsar.

Nor Faisal berkata, pasangan suami isteri itu disifatkan sebagai anak dan menantu yang baik apabila sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibu mereka yang uzur.

“Saya cukup menghormati mereka apabila sanggup berpindah dari Petaling Jaya sejak lima tahun lalu, untuk menjaga ibu mereka yang uzur di kampung," katanya.

Sementara itu, biras mangsa, Mohd Ikram Abd Rahman, 53, tidak menyangka kesungguhan Norzuwida meraikan Aidilfitri bersama rakan dan saudara mara memberi petanda arwah akan pergi selamanya.

“Saya lihat banyak perubahan pada diri arwah ketika berhari raya di rumahnya, Selasa lalu.

"Arwah nampak bersungguh-sungguh menyediakan pelbagai juadah dan melayan tetamu. Selalunya arwah sambut raya sederhana sahaja, tapi kali ini berbeza.

"Seluruh ahli keluarga masih bersedih dengan kehilangan ini, apatah lagi anak-anak mangsa sudah menjadi yatim piatu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai anak-anak arwah yang masih di rawat, Mohd Ikram berkata, dia mengharapkan semuanya selamat.

"Kami masih belum memikirkan mengenai masa depan dan arah tuju semua anak-anak mangsa buat masa ini. Apa yang kami harapkan, semuanya selamat," katanya.