TAPAH - Bagi memupuk kerjasama antara Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Program Community Policing Bermotosikal dilancarkan, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Tapah, Deputi Superintendan Mohd Razali Abdullah  berkata, program yang diadakan itu bertujuan membantu polis khususnya mencegah jenayah di kawasan KRT dan JKKK di dalam kawasan IPD Tapah.

Menurutnya, itu adalah usaha pihak IPD Tapah dalam membanteras jenayah dengan bantuan awam.

“Ini dapat menggalakkan pembabitan orang ramai dengan pertubuhan masyarakat, termasuk agensi kerajaan dan swasta selain menggalakkan interaksi dua hala melalui saluran ditetapkan.

“Selain itu, kita juga memberi  didikan dan kesedaran sivik kepada masyarakat dalam pelbagai sudut keselamatan seperti mencegah jenayah serta keselamatan jalan raya,” katanya selepas menyertai rondaan bermotosikal di sekitar Tapah bersama kira-kira 150 anggota polis dan penduduk, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Batang Padang, Razali Bakar dan Pengerusi  KRT Taman Tapah 2, Rozaime Harabi.

Mohd Razali berharap menerusi program yang diadakan itu, polis dan orang awam akan  menggembleng tenaga untuk memerangi jenayah serta masalah keselamatan khususnya di kawasan Tapah.